Eddy Nicholas (D20201094067)

Cara pihak sekolah menjaga hubungan yang baik dengan masyarakat dalam situasi pandemik COVID-19.


1.0 Pengenalan

          


Sekolah merupakan satu institusi pendidikan yang berbentuk formal kerana ia boleh mengubah pemikiran, tingkah laku dan sikap murid-murid dan seterusnya dapat melahirkan generasi yang seimbang dari segi rohani dan mental. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994), sekolah bermaksud tempat untuk belajar dan mengajar. Persekitaran pula dapat dikaitkan dengan suasana atau budaya sekolah dari segi fizikal, sosial, perkembangan intelek dan aspek penggunaan bahasa.Menurut Kamus Dewan Edisi Baru (1989), persekitaran merujuk kepada keadaan sekeliling (sesuatu) atau keadaan yang menjadi seperti latar belakang (seseorang atau sesuatu).

          

           Dunia dikejutkan dengan penularan wabak COVID-19 yang menyebabkan pelbagai perkara dalam rutin seharian berubah. Bermula dengan penekanan terhadap penjagaan kebersihan sehingga ke Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasakan oleh kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia. Kerajaan Malaysia telah menguatkuasakan PKP yang bermula dari 18 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi PKP Fasa 1, PKP Fasa 2 bermula dari 1 hingga 14 April 2020, dilanjutkan ke PKP Fasa 3 bermula dari 15 hingga 28 April dan seterusnya PKP Fasa 4 bermula dari 29 April hingga 12 Mei. PKP tidak dapat dipastikan bilakah akan tamat, malah PKP fasa seterusnya mungkin terjadi sekiranya setiap individu tidak menyokong dan tidak akur kepada saranan kerajaan. Kerjasama daripada pelbagai pihak sangat penting menyokong usaha 2 kerajaan dalam bersama-sama membendung penularan wabak COVID-19 ini sepanjang tempoh PKP.

         Semasa Pandemik COVID-19, pendidikan antara memiliki kesan perubahan yang besar iaitu perubahan kaedah pembelajaran yang ketara. Dengan pergerakan yang sangat terhad  dan bagi memutuskan rantaian COVID-19, kerajaan telah mengubah kaedah pembelajaran daripada kaedah pembelajaran bilik darjah kepada pembelajaran secara dalam talian atau secara maya sahaja. Dalam hal ini, hampir keseluruhan guru perlu berkomunikasi terus melalui ruang aplikasi yang tersedia dengan ibubapa bagi menjalankan dan memantau anak-anak mereka semasa sesi pembelajaran secara atas talian. hal ini bertujuan agar anak-anak mereka terus mengikuti pembelajaran tersebut bagi mengelakkan pelajar tidak mendapat pendidikan yang sepatutnya semasa pandemik ini. secara tidak langsung, Hubungan antara pihak sekolah dengan masyarakat perlu dititik beratkan daripada kedua pihak tersebut bagi mengelakkan sebarang konflik dan memberi kesan terhadap pendidikan anak mereka.

2.0 Cara pihak sekolah menjaga hubungan yang baik dengan masyarakat dalam situasi pandemik COVID-19.

2.1 Mengaktifkan Kefungsian "Group Whatsap" Ibubapa dan Guru.

           Antara cara sekolah menjaga hubungan yang baik dengan masyarakat dalam situasi pandemik COVID-19 ialah mengaktifkan kefungsian "Group Whatsapp" ibubapa dan guru. Hal ini bertujuan untuk memastikan maklumat sepanjang Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah(PDPR) dapat dikongsikan dengan cepat bagi mengelakkan pelajar tidak masuk sesi pembelajaran dan pihak sekolah juga memastikan semua maklumat semasa yang berkaitan dengan PDPC, SOP dan situasi terkini Covid-19 dapat dikemaskini dan dilaporkan dalam group. Ibubapa juga boleh memberikan pandangan kepada pihak sekolah untuk bersama-sama menjaga hubungan baik di antara kedua pihak. Secara tidak langsung, hal ini mengelakkan ketidakfahaman dan konflik yang berlaku antara kedua pihak ini. 

2.2 Guru Memilih Platform Pengajaran Yang Sesuai dengan Keperluan Murid.

           Pemilihan platform bersesuaian amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini bertujuan mengelakkan berlakunya "lag" atau "screen freeze"  yang boleh mengganggu tumpuan pelajar sekiranya kelas atas talian dilakukan secara bersemuka. Guru perlu mengetahui tahap kestabilan internet, sama ada rendah, sederhana atau tinggi sebelum memilih platform pengajaran yang bersesuaian. Sekiranya capaian internet rendah, platform seperti WhatsApp, Telegram dan Instagram sesuai dijadikan platform pengajaran murid.  Bagi capaian sederhana, platform seperti Youtube dan Kahoot telah digunakan, manakala bagi capaian tinggi, platform bersemuka seperti Zoom, Microsoft Team, Skype dan Google Meet juga dipraktikkan. Kaedah pengajaran berbeza sesuai dijalankan menggunakan platform yang berbeza kepada pelajar berdasarkan jenis capaian internet murid. Meskipun sukar, pihak sekolah terutama guru sedaya upaya memastikan agar kaedah ini dilihat sebagai berkesan dalam membolehkan pembelajaran murid dicapai secara maksimum. Dengan pemilihan platform pengajaran yang betul pihak ibubapa tidak perlu risau akan ketinggalan pelajaran ke atas anak mereka kerena pihak sekolah telah menjalankan beberapa kaedah pembelajaran yang mampu mengatasi masalah jaringan internet di sekolah-sekolah luar bandar.

2.3 Peranan Unit Bimbingan Dan Kaunseling Dalam Pengurusan Emosi Pelajar.

        Peringkat awal pelaksanaan PKP seakan memberikan ‘rahmat’ kepada pelajar kerana tidak perlu hadir ke sekolah dan menjalani aktiviti PdP harian. Akan tetapi, jangkamasa PKP yang lama dan dilanjutkan pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu menjadikan pelajar mulai rasa bosan terkurung di rumah. Murid tidak dapat bertemu rakan sebaya, bermain dan berbual dengan sahabat karib di sekolah ataupun menjalani aktiviti ko kurikulum. Hal ini menyebabkan pelajar-pelajar tersebut tidak dapat mengawal emosi mereka sendiri dan mengakibatkan emosi pelajar mulai mengalami ketidakstabilan. 

        Sesi pembelajaran atas talian yang mempunyai jadual tertentu yang telah ditetapkan oleh pendidik perlu juga mengambil kira peranan murid untuk membantu ibu bapa di rumah.  Oleh yang demikian, satu platform kaunseling khas perlu diwujudkan oleh pihak sekolah. Platform ini perlu diuar-uarkan kepada pelajar bagi membolehkan mereka menghubungi guru-guru kaunseling sekiranya mereka mengalami ketidakstabilan emosi. Sokongan kaunseling amat perlu semasa perintah kawalan pergerakan ini selain membantu murid berdepan dengan normal baharu pembelajaran. Setiap pagi sebelum kelas bermula, Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah juga sentiasa memberikan kata-kata motivasi kepada Pelajar dalam setiap "Group" Kelas agar memberikan impak yang positif kepada pelajar-pelajar untuk terus fokus dalam pembelajaran secara atas talian dan sekali gus menjaga hubungan baik antara masyarakat.

2.4 Pembelajaran dalam talian secara pentaksiran holistik.  

        Menurut Kamus dewan Edisi Ke-4, Holistik bersifat saling berkait antara satu sama lain sebagai suatu sistem bersepadu yang menyeluruh, bukan sekadar menyentuh aspek-aspek ter­tentu sahaja namun model ini bertujuan memberi­kan pandangan secara menyeluruh dan bagi memahami konteks operasi sesuatu organisasi.

     Kaedah pentaksiran secara holistik ini dilihat kaedah paling ideal dalam mengukur tahap pengetahuan murid. Kaedah pentaksiran ini yang merupakan kombinasi daripada subjek teras yang merupakan lapisan pertama dan elektif sebagai lapisan kedua kaedah pentaksiran ini mampu mengukur keupayaan pemikiran aras tinggi murid. Pada masa yang sama, kombinasi ini juga boleh disertakan dengan subjek Pendidikan Islam dan Moral sebagai lapisan ketiga yang berupaya mengukuhkan penerapan nilai kepada murid.

    Pihak sekolah dengan kerjasama Guru telah memikirkan kaedah yang bersesuaian, misalnya melaksanakan kaedah pentaksiran berasaskan projek yang boleh dilaksanakan bersama keluarga, kajian kes, ulasan artikel, menjalankan eksperimen dan merekabentuk poster mampu memenuhi keperluan komponen pembentukan intelektual, rohani, emosi dan jasmani. Secara tidak langsung memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang ingin melahirkan murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi , rohani dan intelektual. Sekaligus, merapatkan hubungan antara anak dan ibubapa.

Kesimpulan

        Konklusinya, tahap kesediaan dan kepekaan pemimpin pendidikan terhadap perubahan persekitaran dunia yang sentiasa berubah-ubah perlu sentiasa tinggi dan dinamik dalam menggalas tanggungjawab melaksanakan tugasan seharian. Dugaan dan cabaran dunia pendidikan datang silih berganti. Oleh itu, pemimpin masa kini perlukan persediaan jitu yang menjangkaui batas sempadan pendidikan dan peradaban manusia. Selain itu, pemimpin juga perlu bersikap fleksibiliti terhadap keperluan semasa dan pada masa akan datang agar selaras dengan tuntutan dunia semasa. Kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan amat diperlukan kerana jatuh bangun pemimpin terletak kepada sokongan persekitarannya. Oleh itu, pihak sekolah dan masyarakat perlu berganding bahu dalam menghadapi norma baru agar generasi muda mendapat pendidikan yang semaksimumnya.

Rujukan

Jasmi, K. A., & Ilias, M. (2011, April). Penggunaan masjid dan persekitaran sekolah dalam amalan pengajaran dan pembelajaran guru cemerlang Pendidikan Islam sekolah menengah di Malaysia. In Dalam Prosiding Seminar pengurusan Masjid Inovatif Peringkat Antarabangsa: IAIN Ar-Raniry, Banda Aceh (pp. 23-24).

Ahmad, A. A., & Ambotang, A. S. B. (2020). Pengaruh kecerdasan emosi, kecerdasan spiritual dan persekitaran keluarga terhadap stres akademik murid sekolah menengah. Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH)5(5), 12-23.